PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) semalam.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.
Tegasnya, KESUMA tidak akan berkompromi dengan setiap tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Saya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan KESUMA dan HRD CORP (PSMB) untuk memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Sejajar syor Ketua Audit Negara, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD CORP Datuk Shahul Hameed Dawood untuk membuat laporan kepada SPRM tentang penemuan laporan-laporan tersebut,” katanya.
Jelas Steven, KESUMA telah memulakan proses rekayasa merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh Kementerian dan agensinya dalam tempoh enam bulan.
“Matlamat saya adalah untuk memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.
“Rekayasa KESUMA di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang,” katanya.
Urus niaga hartanah yang mencurigakan dan pelaburan berisiko tinggi adalah beberapa isu yang dikenal pasti oleh PAC dalam laporannya mengenai HRD Corp.
Salah satu urus niaga tersebut adalah pembelian Menara Ikhlas pada harga RM202.5 juta pada Februari 2021, melibatkan pembayaran deposit di sebanyak RM120 juta kepada syarikat Crystal Clear Technology.
"Ia adalah lebih daripada 50 peratus daripada harga pembelian bangunan tersebut, tetapi pembelian itu akhirnya dibatalkan.
"Perjanjian itu adalah perjanjian jual beli, tetapi kandungan perjanjian itu adalah perjanjian sewa untuk membeli," kata PAC dalam laporannya yang dikeluarkan semalam.
Pengerusi HRD Corp, Datuk Rajasekharan Ramasamy berkata, deposit RM120 juta tersebut telah dikembalikan bersama faedah sebanyak RM3.2 juta. - Getaran, 5 Julai 2024