KUALA LUMPUR – Akademi Air Asia iaitu projek usaha sama digital oleh Capital A kini dikenali sebagai Outclass, selepas penjenamaan semula.
Institusi terbabit bagaimanapun kekal dengan peranan sebagai platform pengalaman pembelajaran generasi akan datang.
Presiden (Pelaburan & Usaha Sama) Capital A dan Pengarah Eksekutif Outclass, Aireen Omar berkata, Outclass direka bagi memperkasa kemahiran dan bakat individu untuk berkembang maju dalam landskap tenaga kerja yang dinamik.
“Kami amat teruja untuk memperkenalkan platform revolusioner yang direka untuk memperkasakan individu dan perniagaan.
“Outclass memperibadikan pengalaman pembelajaran serta memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesyorkan laluan kerjaya terbaik berdasarkan personaliti, cita-cita dan kemahiran anda,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan semula Outclass di KL Sentral, semalam.
Menurut beliau, Outclass bakal dilancarkan di seluruh ASEAN bermula dengan Singapura, Thailand, Filipina, dan Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut hadir menyifatkan Outclass sebagai satu langkah penting dalam memajukan kemahiran semula digital dan peningkatan kemahiran di Malaysia.
“Capital A telah menjadi penyokong teguh inisiatif kerajaan untuk memupuk bakat dan tenaga kerja yang mahir dalam digital.
“Pada kemuncak pandemik, mereka berjaya menambah dan meningkatkan kemahiran lebih daripada 3,000 bakat dalaman mereka sendiri.
“Sehingga kini Outclass telah berjaya menambah dan meningkatkan kemahiran lebih daripada 9000 bakat,” katanya.
Outclass berbeza daripada Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) tradisional kerana ia berpaksikan Platform Pengalaman Pembelajaran (LXP) yang lebih komprehensif.
Platform yang boleh disesuaikan ini direka khas untuk memenuhi keperluan individu dan organisasi.
Selain itu, Outclass juga menawarkan pelbagai kursus di luar subjek berkaitan teknologi, termasuk pengalaman pembelajaran yang disusun oleh pakar industri dan penyumbang.
Platform ini menampilkan perpustakaan kandungan yang luas merangkumi pelbagai bidang, termasuk siri INSPIRE yang mengetengahkan kisah kejayaan dan pandangan daripada tokoh berpengaruh seperti mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim dan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. – Getaran, 5 Julai 2024