KUALA LUMPUR - Lelaki yang dikesan mendera seekor anjing baka Husky di Kajang baru-baru ini sebenarnya pernah tular di media sosial tahun lalu.
Bertugas sebagai jurulatih dengan kelab badminton Kajang United Badminton Club, aksinya melempar dan memukul dua pemain dengan kerusi plastik tular selepas rakaman kejadian itu dimuat naik di aplikasi media sosial.
Dikenali sebagai Fung Seng, dia bagaimanapun mempertahankan tindakan tersebut dengan berkata, perbuatan berkenaan adalah kaedah yang tepat untuk mendisiplinkan pemain.
Dua hari lalu, Fung Seng kembali mencetuskan kemarahan ramai apabila dilihat memukul anjing peliharaannya dengan ganas.
Perbuatannya sempat dirakam saksi yang kemudian memuat naik video berkenaan dan merayu agar haiwan malang itu segera diselamatkan.
Susulan kejadian, aktivis haiwan, Shima Aris tampil ke lokasi dan berjaya memujuk Fung Seng menyerahkan anjing terbabit untuk dibawa ke lokasi yang lebih selamat.
Menerusi hantaran di Instagram, pengendali akaun @myforeverdoggo berkata, anjing tersebut yang diberi nama Kitster kini berada dalam jagaan sebuah klinik haiwan.
“Pemeriksaan jelas mendapati haiwan malang itu berada dalam ketakutan dan dilanda trauma yang amat dalam.
“Pendera juga mengaku, ini bukan kali pertama Kitster dibelasah,” katanya.
Pengendali akaun itu bagaimanapun berkata, Kitster bakal diserahkan kembali kepada Fung Seng selepas lelaki berkenaan membuat laporan polis dan mendakwa anjing miliknya telah dicuri.
“Shima sekarang perlu menyerahkan Kitster kembali kepada pemiliknya atau kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV).
“Jika pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal ditemui pada Kitster, hanya pemilik haiwan itu berhak menuntut anjing itu,” katanya, kecewa.
Menjengah ke ruangan komen, majoriti netizen mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan, termasuk menyelamatkan seekor lagi anjing yang dipelihara Fung Seng.
Ramai juga yang mengkritik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV) kerana gagal menangani kes penderaan haiwan dengan baik.
Seorang netizen yang menggunakan akaun @iekienyusof berkata, DSV tidak pernah tampil membela nasib haiwan yang teraniaya.
“DSV tidak pernah mempertahankan hak haiwan. Dalam kes ini, mereka sepatutnya menyebelahi penyelamat, bukannya pendera!
“Tak dapat dibayangkan bagaimana kebajikan Husky itu nanti jika dipulangkan kepada pemiliknya. Mungkin pemilik perlu menjalani penilaian psikologi dan keputusan untuk menyerahkan anjing itu atau tidak harus dibuat berdasarkan hasil penilaian,” katanya.
Sehingga laporan ini ditulis, Getaran difahamkan Kitster masih berada di bawah jagaan klinik haiwan terlibat. - Getaran, 3 Julai 2024