PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, Kerajaan Madani kekal teguh walaupun dikritik atas keputusan yang tidak popular seperti pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan pembanterasan rasuah.
"Tidak mudah dalam negara ini kerana politik kebencian terlalu menebal, tak ambil gaji dihina, banteras rasuah dengan tegas pun dihina, baik dengan Hamas pun dihina, dengan Blackrock pun dia kata ejen Yahudi, fakta tidak dipedulikan sama sekali," katanya semasa perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau menegaskan politik kebencian dan gelaran daripada pembangkang tidak akan mengganggu tumpuannya untuk mentadbir negara dengan cekap.
Anwar menegaskan beliau tetap fokus terhadap cabaran yang dihadapi dan tidak akan membenarkan taktik-taktik sedemikian mempengaruhi beliau.
"Jadi yang diutarakan ialah kebencian, apakah ini harus mengganggu kita? Tidak," kata beliau.
Anwar dalam pada itu menggesa semua badan penguatkuasa di seluruh negara supaya mengekalkan standard tinggi dalam pengutipan hasil negara serta mematuhi undang-undang dengan ketat tanpa mengambil jalan pintas.
“Semua badan penguatkuasa kena ambil sikap tidak menarah, elakkan daripada kecurangan.
"Kita susah payah umpamanya buat penyasaran subsidi diesel tetapi bidang penguatkuasaan, kebocoran masih diteruskan ia tak adil dan mengundang malapetaka kepada negara.
“Ini (penjimatan subsidi) akan kembali kepada rakyat,"tegasnya. – The Malaysian Insight, 2 Julai, 2024.