KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tidak pernah terlibat dalam sebarang promosi mana-mana kumpulan menggunakan aplikasi WhatsApp Telegram dan Facebook.
Menegaskan perkara itu, Setiausaha Politik Menteri, Dr Muhamad Razak Idris berkata, pihaknya mengesan penyalahgunaan gambar, profil dan kedudukan Mohd Na’im oleh individu tidak bertanggungjawab.
Susulan insiden jelasnya, laporan polis telah dibuat bagi memastikan perkara tersebut dapat dibanteras pada kadar segera.
“Laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Muhamad Razak memberi ingatan, orang ramai perlu berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu, jika menerima sebarang pelawaan yang menggunakan profil atau maklumat peribadi Mohd Na’im, khususnya melalui media sosial.
“Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan Abdul Hanan Abdul Rahman, Setiausaha Akhbar kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di e-mel [email protected],” katanya.
Selain Mohd Na’im, scammer juga dikesan menggunakan profil sejumlah besar individu dikenali, termasuk dalam kalangan selebriti dan pempengaruh.
Lebih membimbangkan, mereka juga tidak teragak-agak menggodam akaun media sosial pemimpin negara, semata-mata untuk mencari mangsa.
Kejadian seperti itu pernah menimpa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa tahun lepas apabila akaun Telegram miliknya diceroboh scammer.
Ia mula disedari selepas beberapa individu termasuk pengamal media menerima mesej ‘pelik’ daripada Ahmad Zahid, yang kononnya berada dalam kesusahan dan mahu meminjam sejumlah wang. - Getaran, 1 Julai 2024