KUALA LUMPUR - Waktu kerja yang lebih fleksibel dilihat sebagai antara langkah paling efektif yang boleh diambil bagi membantu rakyat Malaysia memperoleh keseimbangan antara hidup dan pekerjaan.
Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rezki Perdani Sawai berkata, pendekatan itu diyakini berupaya memperbaiki keseimbangan antara dua aspek berkenaan, yang akhirnya akan memanfaatkan semua pihak.
“Perlu ada galakan polisi kerja fleksibel seperti waktu kerja lebih anjal, kerja dari rumah atau kerja separuh masa.
“Ini juga termasuk pengurangan beban kerja dengan memastikan kerja yang diberikan adalah wajar dan boleh dikendalikan atau diselesaikan tepat pada waktu,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas pendedahan kajian yang meletakkan Malaysia di tangga kedua terburuk dunia berkaitan keseimbangan hidup dan kerja (work life balance).
Kajian oleh syarikat perkhidmatan sumber manusia global, Remote itu turut melibatkan 60 negara secara keseluruhan.
Berdasarkan analisis data, Malaysia memperoleh 27.51 markah daripada 100 dan mencatatkan purata kerja mingguan 40.8 jam berserta gaji minimum AS$1.07 (kira-kira RM5.04) sejam.
Malaysia turut berkongsi gelaran negara paling banyak bekerja bersama Mexico dan Nigeria.
Mengulas lanjut, Rezki berkata, pendekatan disarankan bagaimanapun pasti memerlukan sokongan dan usaha daripada semua pihak.
“Salah satu contohnya adalah sokongan majikan. Majikan boleh menggandakan usaha menjaga kebaikan pekerja lebih baik dengan menyediakan faedah kesihatan, cuti yang mencukupi dan sokongan psikologi.
“Ini dapat membawa kepada budaya kerja yang lebih positif, sekali gus menyokong keseimbangan kerja-kehidupan,” katanya.
Lebih dari itu beliau berkata, peranan lebih aktif boleh dimainkan pihak kerajaan dengan melaksanakan lebih banyak kempen kesedaran mengenai kepentingan keseimbangan kerja dan kehidupan.
Tambah Rezki, majikan juga boleh menyediakan bengkel mengenai pengurusan stres, keseimbangan kerja-kehidupan dan kemahiran interpersonal.
Pada masa sama pakar itu berkata, amalan mendapatkan kaunseling dan terapi wajar dinormalisasikan masyarakat pada masa kini yang saban waktu terdedah dengan cabaran hidup.
“Individu juga perlu ada kesedaran tinggi untuk mengubah cara hidup mereka seperti tahu pengurusan masa yang betul, rajinkan diri untuk bersenam dan membuat aktiviti di luar.
“Ini termasuk membangunkam hubungan yang kukuh dengan keluarga dan rakan sebagai sumber sokongan emosi,” katanya. - Getaran, 1 Julai 2024