KUALA LUMPUR - Akaun Telegram milik saluran Edisi Siasat kembali hangat selepas pengendalinya memuat naik dua keping foto semalam.
Foto berkenaan didakwa sebagai kesan kecederaan pada tubuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mati dibunuh Disember tahun lalu.
Dakwa pengendali akaun itu, foto berkenaan diambil ketika sesi bedah siasat.
Saluran berkenaan sebelum ini pernah menggemparkan negara selepas menyebarkan laporan didakwa sebagai hasil soal siasat ke atas ibu bapa mangsa.
Laporan berkenaan dimuat naik selepas ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Susulan itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyekat penyebaran maklumat yang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.
Polis mengesahkan kanak kanak autisme itu mati dibunuh selepas hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut selain telinganya digunting.
Pada 12 Jun lepas, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Pasangan berusia 29 tahun itu ditahan pada 31 Mei lalu di Puncak Alam, Selangor dan direman selama 13 hari. - Getaran, 30 Jun 2024