KUALA LUMPUR - Pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang sedang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur terpaksa membuat pendaratan kecemasan, sejurus meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Hyderabad, India.
Media negara itu melaporkan, pesawat MH199 yang membawa 138 penumpang dan kru itu berlepas pada 12.45 tengah malam tadi.
Laporan turut menyebut bahawa pesawat itu mengalami kerosakan di bahagian enjin yang menyebabkan berlakunya percikan api.
Difahamkan, percikan api itu disedari kru penerbangan sebelum ia dimaklumkan kepada Kawalan Lalu Lintas Udara (ATC).
“Pihak ATC telah mengarahkan pesawat MAS itu untuk berlegar terlebih dahulu di udara bagi mengurangkan bahan api.
“Pesawat berkenaan selamat mendarat pada jam 3 pagi tadi,” kata laporan tersebut.
Laporan turut memetik jurucakap lapangan terbang antarabangsa sebagai berkata, pihak berkuasa akan menyiasat insiden terbabit.
Getaran difahamkan syarikat penerbangan itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden. - Getaran, 20 Jun 2024