KUALA LUMPUR - Bekas pemain bola sepak merayu agar pihak polis bersikap telus dalam siasatan mereka terhadap beberapa serangan melibatkan pemain yang menimbulkan spekulasi dan mencetuskan banyak khabar angin dalam kalangan orang ramai.
Kesemua mereka menyatakan rasa bimbang dengan serangan asid pada 6 Mei terhadap pemain sayap Harimau Malaysia dan Selangor FC, Faisal Halim di Kota Damansara.
Faisal adalah antara empat pemain bola sepak yang diserang bulan lepas.
Pemain Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid adalah mangsa pertama apabila diserang dua perompak di Kuala Terengganu pada 2 Mei. Beliau mengalami kecederaan di kepala dan kaki.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim, yang juga berada dalam pasukan kebangsaan turut ditimpa malang apabila cermin belakang keretanya dipecahkan dengan tukul oleh dua lelaki yang menaiki motosikal di Johor Baru pada 7 Mei.
Minggu lalu, kediaman pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee pula dipecah masuk semasa beliau menjalani latihan.
Bekas pemain yang ditemui The Vibes mempersoalkan kenyataan bercanggah daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung serangan tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, insiden Faisal tidak berkaitan dengan bookie, tetapi pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Mohd Azam Baki memberitahu akhbar yang badan agensi antirasuah itu mengesyaki berlakunya pengaturan perlawanan dan rasuah dalam liga bola sepak kebangsaan susulan serangan terhadap pemain.
Polis telah mengeluarkan gambar fotofit suspek serangan asid tetapi masih belum membuat sebarang tangkapan.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Radhi Mat Din berkata, pihak polis perlu segera mengenal pasti pelaku untuk menamatkan spekulasi mengenai serangan tersebut.
Radhi juga menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia agar menjaga pemain mereka.
"Saya mendengar begitu banyak khabar angin. Saya tidak tahu apa yang berlaku atau siapa dalang serangan tersebut.
"Tetapi ini bukan kejadian terpencil kerana semuanya berlaku dalam jangka masa yang singkat. Siapa dalang serangan ini dan apa motifnya?
"Adakah ia berkaitan dengan bookie? Adakah ia peribadi? Mereka (polis) mesti memberitahu kami," kata Radhi, yang kini menjadi exco Kedah.
Bekas pemain Selangor, Shahrin Majid berkata, mangsa perlu fokus pada pemulihan mereka.
Shahrin, yang memenangi banyak gelaran ketika bersama Red Giants, meminta Faisal agar tidak berputus asa.
"Siapapun yang berada di belakang serangan ini, polis perlu mengambil tindakan.
"Faisal perlu sedar yang beliau adalah pemain bola sepak profesional dan ini adalah jalan yang dipilihnya, untuk menjadi pemain bola sepak.
"Beliau perlu tahu bahawa dalam bola sepak, tekanannya sangat tinggi. Anda mesti beraksi dengan baik dan anda mesti mampu menangani tekanan itu," katanya.
Seorang lagi bekas pemain bola sepak kebangsaan yang enggan namanya disebut berkata, polis perlu menyelesaikan kes ini dengan cepat.
"Adalah menyedihkan melihat kita jatuh ke tahap ini dalam sukan. Kita bukan negara dunia ketiga yang menggunakan kekerasan untuk menangani segala-galanya. Kita tidak boleh berkelakuan seperti ini.
"Keluarga pemain pasti trauma," kata bekas pemain tengah itu.
Minggu lalu, peminat Selangor memberitahu The Vibes mereka percaya kelab bola sepak mereka sedang disasarkan selepas rumah Khuzaimi dipecah masuk.
Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dikatakan menerima ancaman menerusi panggilan telefon daripada seseorang tidak dikenali yang berkata Johan akan menjadi mangsa serangan asid seterusnya.
Peminat berkata insiden terbaru yang melibatkan Khuzaimi bukanlah kebetulan kerana kakitangan kejurulatihan dan CEO kelab juga diancam. – The Vibes, 31 Mei 2024