Banyak orang, banyaklah ragamnya. Dalam kehidupan ini pasti kita akan bertemu dengan banyak kerenah manusia. Ada yang menyenangkan, ada juga yang menjengkelkan.
Mereka yang bersifat egoistik adalah salah satu golongan yang ingin dijauhi kerana mereka ini sukar bertolak ansur, serba betul dan payah untuk mengakui kesilapan.
Cuba anda perhatikan, ada atau tidak di antara ahli keluarga atau kenalan anda yang punya sifat egoistik? Atau adakah diri anda sendiri yang ego?
Menurut psikiatri ternama, Sigmund Freud, ego merupakan prinsip realiti yang wujud dalam keadaan sedar yang membentuk keperibadian seseorang. Namun, ego adalah struktur keperibadian yang tidak berserta dengan agama, moral adat atau norma-norma kehidupan manusia di mana ego yang muncul itu dapat bersifat baik atau buruk.
Jadi, ego ini berkaitan dengan ‘self-esteem’. Dari sudut positif, ego yang tidak berlebih-lebihan boleh meningkatkan percaya diri, jika ia melampau dan tidak kena pada tempatnya ia hanya memakan diri.
Antara tanda orang itu bersikap egoistik ialah dia tidak menerima kritikan, tetapi suka mengkritik orang lain. Ini kerana dia berasa dirinya cukup sempurna, orang lain tidak bagus.
Selain itu, si egois juga tidak boleh melihat orang lain mendapat pujian. Dia akan berasa cemburu dan sakit hati, lantas mencari jalan untuk menjatuhkan individu terbabit.
Paling menyakitkan hati, golongan ini berasa dia berhak memiliki segalanya berbanding orang lain. Jadi, dia akan mementingkan diri sendiri, abaikan perasaan orang lain.
Memang benar semua orang ada egonya. Namun kita perlu tahu di dalam sesetengah situasi kita perlu rendahkan ego. Jangan biarkan ego memakan diri sendiri sehingga tidak ada orang yang ingin mendekati.
Islam juga melarang sifat sombong dan angkuh (egoistik). Dalam ajaran Islam, perkataan ‘kibir’ adalah yang paling dekat maksudnya dengan ego. Sifat kibir atau sombong, angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.
Contoh paling jelas Allah membenci orang yang sombong dan membanggakan diri ialah ketika Dia murka terhadap iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam A.S. Iblis membesarkan diri kerana menganggap dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam A.S memandangkan dia dijadikan daripada api sedangkan Nabi Adam A.S berasal daripada tanah.
Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al Quran, firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: ‘Sujudlah kepada Ada.’ Dia (iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah dari golongan musyrik.” (Al Baqarah: 34)
Sifat sombong juga menjadi punca tercetusnya penyakit-penyakit batin (mazmumah) yang lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki, maka sombong ini sangat dikeji dan dimurkai Allah. Rasulullah SAW juga ada mengingatkan dalam Hadis baginda tentang bahayanya sifat sombong.
“Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan”. (Riwayat Muslim) – Getaran, 28 Jun, 2024