Kumpulan Insomniacks nampaknya tidak mengenal erti putus asa. Sejak kemunculan awal mereka dahulu, kumpulan ini terus mengukuhkan nama mereka dalam industri muzik tempatan.
Kini mereka melebarkan sayap lagi ke negara jiran selepas bekerjasama dengan bintang dari seberang yang semakin meningkat naik, iaitu bekas naib juara program realiti, Indonesian Idol musim ke-12, Nabila Taqiyyah melalui lagu ‘Belum Mulai’.
‘Belum Mulai’ yang ditulis dan digubah oleh Clara Riva dan S/EEK ini mempunyai nuansa muzik kumpulan kugiran era 2000-an. Lagu dan video muziknya mengisahkan tentang seseorang yang terpaksa melepaskan si dia yang belum sempat dimiliki hatinya.
Apa yang menarik tentang lagu ini ialah, sedutan lagu ini yang dikeluarkan pada 12 Jun telah mendapat lebih 850 000 tontonan dengan 1,700 komen di platorm media sosial Instagram.
Malah, pendedahan rekaan muka depan lagu yang dimuatkan naik pada 20 Jun 2024 juga mendapat respon yang baik di mana ia meraih 730,000 tontonan.
Pra-pelancaran lagu ini telah dibuat pada 20 Jun lalu, manakala pelancaran penuh akan diadakan pada 28 Jun, jam 12 tengah malam, bersama video muziknya yang akan ditayangkan di saluran YouTube Insomniacks pada tarikh sama, jam 10 malam.
‘Belum Mulai’ telah dirakam di Jakarta pada Mac lalu dan penggambaran video muzik telah diadakan pada Mei. Jom dengarkan audio pra-dengar ini. – Getaran, 27 Jun, 2024
Foto : Universal Music Malaysia