web statsweb stats

Berita Terkini

2 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Tambak Johor Sudah 100 Tahun!

Kolum Dikemaskini 3 hari yang lalu · Diterbitkan pada 04 Jul 2024 10:58AM

Tambak Johor - Gambar Wikimedia Commons

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tambak Johor, atau juga dikenali sebagai Causeway, menyambut ulang tahunnya yang ke 100 pada 28 Jun 2024 yang lepas. 

Menghubungkan Malaysia dan Singapura, tambak yang panjangnya 1,036 meter ini kini digunakan lebih 300,000 orang setiap hari, menjadikannya antara sempadan dua negara yang paling sibuk di dunia. 

Aku sendiri dibawa menyeberang Tambak Johor sebaik saja Allahyarhamah ibu habis pantang selepas melahirkan aku lebih setengah abad yang lalu.

Ya, umur belum sampai dua bulan, aku sudah pun ada pasport sendiri. Bukan pasport merah antarabangsa tu, tapi pasport terhad berwarna biru yang majoriti orang Johor mesti ada. 

Aku dibawa ke Kota Singa untuk diperkenalkan kepada saudara maraku di sana. Oleh kerana masih lagi terlalu kecil, aku memang tidak ada sebarang memori kenangan pertama tersebut. Tapi selepas itu, berulang-alik menggunakan Tambak Johor menjadi satu kebiasaan. 

Biasanya, perjalanan kami akan bermula dengan menaiki bas South Johore untuk ke stesen bas utama Johor Bahru ketika itu di Jalan Trus.

Ibu selalu membeli tiket untuk bas Singapore-Johore Express kerana lebih cepat sampai berbanding bas berhenti-henti no 170. Tak ingat pula harga tiket tapi rasanya tak sampai pun SGD2 seorang. 

Kami akan turun di check point bahagian Malaysia untuk sekadar menayangkan pasport biru kami sebelum menaiki semula bas untuk menelusuri Tambak Johor yang mengambil masa hanya beberapa minit jika tiada sebarang kesesakan. 

Seterusnya kami akan turun di Pusat Pemeriksaan Woodlands pula, dan kali ini proses mengambil masa lebih sedikit kerana perlu beratur sebelum pasport dan kad putih kami dicop.

Kemudian, kami akan menaiki bas semula untuk menyambung perjalanan terus ke Rochor Road di tengah-tengah bandaraya Singapura. 

Aku sering terfikir ketika itu bagaimana dua negara yang terletak betul-betul bersebelahan, mempunyai rasa yang tak sama. Orangnya kelihatan serupa, tapi ketrampilan berlainan. Hanya beberapa kilometer dari rumah aku sendiri, namun persekitaran begitu jelas berbeza.

Balik ke JB, kadang-kadang kami akan mengambil perkhidmatan teksi dari tempat yang sama juga, Rochor Road. Teksi ini akan mengambil empat orang penumpang untuk setiap perjalanan, jadi kami akan berkongsi dengan orang yang tak dikenali. Harga tambang aku tak ingat. 

Teksi yang tersedia memang selesa dan cepat, walaupun pemandu akan sentiasa mengikut had laju sepanjang perjalanan (Singapura terkenal sebagai “Fine City”!)

Untuk pemeriksaan imigresen pula, kami tak perlu turun dan beratur. Sampai je ke booth pemeriksaan, pegawai bertugas akan memanggil nama setiap penumpang untuk dipadankan dengan gambar di dalam pasport. Semuanya mengambil masa beberapa minit sahaja. 

Merentasi Tambak Johor dari arah Singapura, aku akan selalu merasa sedikit kagum dan bangga apabila melihat beberapa bangunan pencakar langit menghiasi langit JB, walaupun tak sebanyak di Singapura. Yalah, seperti kata pepatah Melayu, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”

Tak sah juga kalau sesiapa yang biasa menggunakan Tambak Johor tidak mempunyai pengalaman berjalan kaki dari Woodlands ke JB.

Aku sendiri pernah beberapa kali menapak lebih satu kilometer selepas selesai membeli-beli di Woodlands kerana terlalu ramai yang masih menuggu untuk menaiki bas. 

Not bad lah. Tak terasa begitu penat apabila berjalan beramai-ramai. Sambil berjalan, dapatlah juga menghirup udara yang separa-segar dari Selat Johor.    

Selepas aku berhijrah ke ibu kota untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya memulakan alam pekerjaan, aku sentiasa rasa teruja apabila pulang ke kampung dan melihat Tambak Johor yang sentiasa sibuk, vibrant dan dipenuhi kenderaan.

Suka tak suka, ia adalah simbol hubungan erat di antara Singapura dan Johor, dan bagaimana kita saling memerlukan, walaupun ada juga yang menggelarkannya, “love-hate relationship”.

Sebab itu juga, antara imej dan ingatan pandemik COVID-19 yang paling menyedihkan ialah melihat Tambak Johor lengang tanpa orang dan kenderaan, selepas ditutup atas faktor keselamatan kesihatan.

Malam pertama ia ditutup, aku menonton secara ‘live’ di Facebook dan menggeleng kepala kerana bingung dan tak percaya pintu sempadan ini kini menjadi zon larangan.

Kesannya, rakyat Johor yang bekerja di Singapura terpaksa memilh untuk sama ada tidak pulang dan mencari tempat tinggal sementara, atau balik ke JB dan mungkin hilang punca pendapatan mereka.  

Tapi sama seperti ramai di luar sana, aku juga fikirkan yang keadaan ini hanya bersifat sementara. Mungkin dua atau tiga minggu. Paling lama pun, sebulan. Langsung tak terlintas yang penutupan sempadan Malaysia-Singapura akan berlanjutan sehingga dua tahun.

Natijahnya, ramai yang terpisah dengan keluarga, termasuk mereka yang baru mendirikan rumah tangga dan juga yang baru menimang cahaya mata.

Ah, memang perit. Tambahan pula ada yang terpaksa tidur merata, demi mempertahankan periuk nasi mereka.

Pada awal 2020 selepas kebenaran merentas negeri diberikan, aku pulang ke JB untuk melepaskan rasa rindu. Sempat juga aku melawat buat pertama kalinya, mercu tanda JB terbaharu, Permaisuri Zarith Sofiah Opera House di Jalan Tanjung Puteri. 

Berdiri di bahagian bawah bangunan yang terletak di persisiran Selat Tebrau, aku melihat dengan mata kepala sendiri Tambak Johor yang kosong tanpa orang dan kenderaan, persis adegan sebuah filem zombie apocalypse

Tambak Johor lengang ketika pandemik.
Tambak Johor lengang ketika pandemik.

Lama juga aku berdiri merenung fenomena yang tak pernah terlintas di fikiran. Hampir satu abad ia menjadi penghubung dua wilayah yang saling melengkapkan, tapi ketika itu, Tambak Johor berdiri penuh sepi, seolah tidak diperlukan lagi. 

Tidak hairanlah apabila Tambak Johor akhirnya dibuka semula pada 1 April 2022, ia disambut penuh gembira, air mata dan rasa syukur rakyat kedua-dua negara. Macam Hari Raya kemeriahannya!

Biarpun hari ini ramai yang masih mengeluh tentang kesesakan luar biasa yang selalu melanda Tambak Johor, jasanya buat jutaan pengguna tahun demi tahun, tidak dapat dinafikan. 

Selamat ulang tahun yang ke-100, Tambak Johor! – Getaran, 4 Julai 2024 

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Setem Rai Ulang Tahun Ke-100 Tambak Johor Mula Dijual Hari Ini

2

Semasa 10 bulan yang lalu

KDN Teliti Cadangan Buka Semula Jalan Pintas Pejalan Kaki Di CIQ

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Kerajaan Salur RM64.3 Juta Tangani Isu Kesesakan Tambak Johor - TPM

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Pemandu Rempuh 11 Kenderaan Di Tambak Johor Miliki 33 Saman Lampau

Sorotan

1

Perlu Berani Tonjol Akhlak Islam Santuni Penganut Agama Lain – Anwar

2

Wanita Maut Ditelan Ular Sawa Di Sulawesi Selatan

3

Projek KIGIP Beri Limpahan Ekonomi, Selesaikan Isu Air Penduduk Sungai Bakap - Joohari

4

Bertrand, Nur Shazrin Pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Paris

5

Pemain Badminton China Zhang Zhi Jie Meninggal Dunia Selepas Rebah Di Gelanggang